Baru-baru ini gambar ini telah diviralkan di laman sosial Facebook yang
menyatakan ketidakpuashatian segelintir ibubapa kepada pihak sekolah yang
mendenda anak-anak mereka kerana datang lewat ke sekolah, perhimpunan pagi. Hal
tersebut telah mencetuskan kemarahan dan kekesalan ramai pihak.
Sahabat yang dirahmati Allah, Guru adalah seorang pendidik sebagai insan
yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia
bagi melahirkan generasi Muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup
melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam
sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup
bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain.
Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت
Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang
beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari
kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah ayat 11)
Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan
pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud,
guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar,
kepentingan peranan guru itu memang tidak dapat dinafikan kerana boleh
dikatakan setiap ahli masyarakat pada zaman ini melalui pendidikan yang
diberikan oleh guru.
Islam meletakkan tugas sebagai guru yang melaksanakan tugas tarbiyah
adalah ditempat yang sungguh mulia, seluruh masa yang digunakan dikira sebagai
ibadah, setiap langkah dari rumah ke sekolah dan pulang kerumah dari sekolah
akan mendapat satu pahala dan dihapuskan satu dosa, menyampaikan ilmu secara
hikmah dan ikhlas semata-mata kerana Allah merupakan jihad yang paling tinggi
pada pandangan Islam seperti mana yang dituntut dalam syariat Islam.
Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai
Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih
baik”.( Surah al-Nahl ayat 125)
Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:
1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran
kemahiran mereka sahaja.
2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata
pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.
3- Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan
jalan yang benar.
4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh,
mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan
beramal soleh.
Sebagai seorang guru yang beriman dan bertaqwa keempat-empat ciri di
atas hendaklah fahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik
terutama ciri keempat iaitu mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak
didiknya menjadi manusia berilmu, bertaqwa dan beramal soleh. Jika tugas ini
dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukannya sungguh mulia dan
akan duduk berdekatan dengan Nabi s.a.w di hari akhirat nanti.
Sahabat yang dimuliakan, Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah
besar dan luas. Antaranya ialah:
1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulin untuk menghidupkan hati dan
menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah,
mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.
2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan
fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah),
hubungan harmoni sesama manusia dan alam.
3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan
kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman
Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:
يبنى أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من
عزم الأمور
Maksudnya: “Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah
berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala
bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman :
Ayat 17)
Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته
Maksudnya: “Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan setiap kamu
ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda
masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab guru di sekolah
perlulah menanamkan asas aqidah Islam dan keimanan kepada Allah s.w.t.
Bentuklah jiwa para pelajar supaya berakhlak dengan akhlak Islam dan takut kepada
azab Allah s.w.t jika melakukan maksiat dan kemungkaran.
Semua guru-guru samaada guru agama atau guru akademik perlu memainkan
peranan yang berat ini dan jangan jemu-jemu menasihati, mendidik, membentuk dan
mengasuh jiwa para pelajar dengan nasihat yang baik. Guru pula perlulah membawa
syaksiah Islam dan akan menjadi contoh dan ikutan para pelajarnya.
Kasihanilah anak-anak didik kita ini dengan tutur kata yang lemah lembut
kerana fitrah manusia suka kepada kelembutan. Anggaplah mereka semua seperti
anak kita sendiri dekatilah mereka yang bermasaalah dengan penuh kasih sayang
seperti seorang ibu yang mengasihi anak-anaknya.
Selain daripada guru-guru yang mengajar di sekolah ibu bapa juga
perlulah mengambil tanggungjawab bersama guru untuk memikul tugas yang besar
dan berat ini dan meneruskan pendidikan dirumah pula. Pihak sekolah pula perlu
memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ko korikulum yang menjurus kepada insan
beriman dan bertaqwa iaitu dengan menganjurkan kem motivasi, smart solat,
khemah Ibadah, qiyamulail, kelas hafazan, tazkirah ,kuliah agama dan group usrah
di waktu-waktu cuti atau hujung minggu.
Lebihkan aktiviti berbentuk agama daripada aktiviti-aktiviti lain kerana
waktu mata pelajaran agama Islam yang diajarkan terlalu sedikit untuk menampung
keperluan ilmu dan tarbiyah kepada para pelajar.
PIBG sekolah juga boleh mengembeling tenaga bersama ibu bapa dan guru
merangka program yg bermanfaat. Apabila aktiviti ini dapat dilaksanakan
bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan,
sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.
Sahabat yang dikasihi, Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya
Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan
anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi
wasallam, sejarah para sahabat r.a dan para solehin, hukum-hukum agama
dan termasuk juga pendidikan jasmani di sekolah-sekolah.
Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:
1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda
Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر
وفرقوا فى المضاجع
Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka
mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun
serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan
Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:
علموا أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم
Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan
perbaikilah adab sopan mereka ”.
2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik. Firman Allah taala:
لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر
الله كثيرا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW
itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (
keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut
dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah
Al-Ahzab:Ayat 21)
Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk
melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu , bertaqwa dan
berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan
negara.
Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat Islam yang berwawasan,
bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama
insan.
Guru membawa misi penyempurnaan akhlak, sebagaimana misi diutusnya
Rasulullah Muhammad s.a.w . Nabi sendiri dengan tegas pernah bersabda:
"Innama buitstu liutammima makaarima al-akhlaq, artinya sesungguhnya aku
diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak (manusia)."
Lantaran itu, tidak salah jika ahli tafsir mengatakan bahwa posisi guru
setingkat di bawah Nabi, sebagaimana yang ia pahami dalam sabda Nabi s.a.w., :
"Al-Ulama'u waratsatu al-Anbiya', (Ulama [menurutnya termasuk guru] adalah
pewaris para Nabi).
Sahabat, Guru yang menyampaikan ilmunya adalah berupa ilmu yang
bermanfaat, jika ilmu tersebut di amalkan berterusan hingga ke hari kiamat maka
walaupun ia telah kembali ke alam barzakh maka pahalanya akan berterusan diperolehi.
Perhatikanlah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Apabila seorang
anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara
iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang
mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)
Oleh itu bergembiralah wahai para guru jasamu tetap
dikenang , pahalamu tetap berterusan walaupun kau sudah tidak ada di
dunia ini.
Ulasan
Catat Ulasan